Dari Manakah Sebenarnya Keturunan Imam Mahdi Dan Berapa Lamakah Imam Mahdi Memerintah Di Bumi

0
631

Soalan :

Adakah Imam Mahdi yang akan terbit nanti dari keturunan Rasulullah saw?

Berapa lamakah Imam Mahdi memerintah di bumi?

Jawapan :

Imam Mahdi adalah dari keturunan Rasulullah saw.

Diriwayatkan dari Ummu Salah r.a. katanya Rasulullah saw telah bersabda :

‏ الْمَهْدِيُّ مِنْ عِتْرَتِي مِنْ وَلَدِ فَاطِمَةَ

Maksudnya: “Al-Mahdi dari keturunanku dari anak Fathimah r.a.” (Hadith Abu Daud)

Dan diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib r.a. nabi saw bersabda :

المَهديُّ منَّا أَهلَ البيتِ يُصلحُهُ اللَّهُ في ليلةٍ

Artinya : “Al-Mahdi itu dari keluarga rumah kami yang Allah elokkannya dalam satu malam.” (Hadith Ibnu Majah, As-Suyuthi & Abu Nuaim)

Berkenaan lama mana Imam Mahdi memerintah bumi yaitu selama 7 atau 8 tahun.

Abu Said Al-Khudri r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda :

يَمْلَأُ الْأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلًا، كَمَا مُلِئَتْ جَوْرًا وَظُلْمًا، يَمْلِكُ سَبْعَ سِنِينَ

artinya : “Imam Mahdi memerintah bumi dengan penuh kebaikkan dan keadilan seperti mana bumi telah dipenuhi kejahatan dan kezaliman. Memerintah ia selama 7 tahun.” (Hadith Abu Daud)

Dan pada satu riwayat yang juga dari Abu Said Al-Khudri r.a. sabda Nabi saw :

يَعِيشُ سَبْعًا أَوْ ثَمَانِيًا، يَعْنِي حِجَجًا

artinya : “Hidup ia selama 7 atau 8 tahun dibumi.” (Hadith Al-Hakim)

Wallahua’lam

Sumber: Ustaz Azhar Idrus

Masanya Kian Hampir, Keluarnya Binatang Bekaki Empat Mendatangi Setiap Manusia

APABILA kita merujuk bahan bacaan yang menyenaraikan tanda-tanda kecil kiamat, boleh dikatakan hampir semuanya sudah berlaku.

Antara tanda yang mahsyur dan terbukti berlaku pada hari ini adalah wanita berpakaian, tetapi telanjang. Seorang wanita itu terdapat dua sifat padanya iaitu dia berpakaian dan dia juga telanjang.

Berpakaian tetapi telanjang itu maksudnya pakaian yang dipakainya memperlihatkan bentuk tubuh badannya. Bahkan, lebih buruk daripada itu seorang wanita berpakaian, tetapi nampak kulit tubuh badan serta aurat mereka untuk menarik perhatian lelaki.

Selain itu, terdapat banyak lagi tanda-tanda kecil kiamat seperti masa berlalu begitu pantas, zina dan fitnah berleluasa dan munculnya gaya hidup mewah dalam kalangan umat Islam.

Maka, selepas berlaku semua tanda-tanda kecil kiamat itu, pada bila-bila masa muncul pula tanda-tanda besar kiamat.

Di dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, terdapat enam tanda besar kiamat dicatatkan.

Dalam satu riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Terbitnya matahari dari barat, asap, Dajjal, al-Dabah, perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian) dan urusan umum (kiamat).”

Kata ulama, pada setiap pagi perkara paling mereka takut ialah apabila bangun melihat sama ada matahari terbit dari sebelah timur atau terbit dari sebelah barat.

Sebelum matahari terbit dari barat, seluruh bumi ini akan gelap. Kita boleh bayangkan, setiap pagi biasanya kita bangun tidur jam 5.30 pagi untuk bersiap-siap melaksanakan solat Subuh serta persiapan ke tempat kerja.

Bagaimanapun, setibanya di pejabat jam 9 pagi, kita melihat keadaan itu tidak seperti biasa di mana keadaannya masih gelap.

Keadaan itu pastinya menyebabkan manusia berasa takut dan tertanya-tanya fenomena berkenaan. Disebabkan suasana itu amat pelik dan tidak pernah berlaku, pasti manusia mula panik dan keadaan menjadi kecoh.

Menurut pendakwah, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub, terdapat riwayat menyatakan suasana gelap itu berlaku selama dua hari dan riwayat lain menyatakan akan bergelap selama tiga hari.

Katanya, seandainya gelap itu berlaku selama tiga hari, bermakna pada hari keempat matahari tidak lagi muncul dari sebelah timur, sebaliknya dari sebelah barat.

Ketika seluruh penduduk bumi menyaksikan tanda besar itu, mereka mula beriman kepada Allah. Bagaimanapun, Allah sudah menutup pintu taubat serapat-rapatnya.

Pada waktu itu, tidak berguna lagi taubat serta segala amal ibadat yang hendak dipersembahkan kepada Allah. Bagi yang ditakdirkan masih hidup, mereka akan meneruskan kehidupan mengikut ajal masing-masing.

Seandainya sepanjang usia yang berbaki itu, seseorang bersungguh-sungguh melakukan ibadat, namun Allah tetap tidak akan menerima amalannya.

Manakala bagi orang beriman, mereka akan hidup dalam keadaan beriman sehingga akhir hayat.

Pada hari pertama matahari terbit dari barat itu mengambil masa selama setahun. Tempoh setahun itu seperti dinyatakan oleh Nabi SAW seperti hari-hari yang dilalui manusia.

Hari kedua juga panjang iaitu seperti sebulan. Berikutnya, hari ketiga panjangnya seperti seminggu manakala pada hari keempat baru ia kembali seperti biasa.

Ketika itu baru manusia menyedari betapa nikmatnya Allah kurniakan waktu malam. Pada hari ini, ramai manusia mengubah cara hidup mereka dengan tidur waktu siang, manakala malam mereka berjaga untuk melakukan perkara sia-sia.

Rasulullah menyatakan, apabila muncul tanda besar kiamat pertama, maka akan muncul tanda-tanda besar lain.

Tanda besar kiamat kedua, ketiga dan seterusnya muncul dengan cepat sekali. Ia ibarat mutiara di dalam satu ikatan di mana setiap satunya akan mengikuti yang lain.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tanda-tanda (kiamat) seperti mutiara yang tersusun pada seutas benang, jika benang itu dipotong maka sebahagiannya akan mengikuti sebahagian yang lain (jatuh).” (Riwayat Ahmad)

Dabbah Pembawa Pesan Kiamat

Tanda besar kiamat seterusnya, keluar binatang berkaki empat yang akan mendatangi setiap manusia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.” (Surah an-Naml, ayat 82)

Binatang itu akan berjumpa dan bercakap dengan manusia menggunakan bahasa yang kita fahami. Ia turut membawa dua alat iaitu tongkat Nabi Musa dan cincin Nabi Sulaiman.

Apabila mendatangi seseorang, Allah ilhamkan kepadanya untuk keluarkan salah satu daripada alat itu. Apabila ia keluarkan tongkat Nabi Musa, maka wajah orang yang menerimanya akan bercahaya dan manusia lain mula memanggilnya dengan gelaran ‘Mukmin’.

Sebaliknya, jika binatang itu menyerahkan cincin Nabi Sulaiman, maka wajah orang yang menerima cincin itu bertukar hitam.

Namanya tidak lagi diseru melainkan orang akan mula memanggilnya ‘kafir’.

Lihat sedutan Kuliah Ustaz Wadi Annuar ini.. Allah.. gerunnya hati bila dengar..

Begitu antara tanda-tanda kiamat besar yang kedatangannya cukup menggerunkan hati kita. Hanya iman saja yang dapat menyelamatkan kita daripada segala bentuk fitnah dan ujian berkenaan.

Apakah yang dimaksudkan dengan al-Dabbah?

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, keluarnya al-Dabbah merupakan salah satu daripada tanda besar kiamat. Tanda ini disebut dan terdapat di dalam al-Qur’an dan juga al-Sunnah. Firman Allah SWT:

وَإِذَا وَقَعَ الْقَوْلُ عَلَيْهِمْ أَخْرَجْنَا لَهُمْ دَابَّةً مِّنَ الْأَرْضِ تُكَلِّمُهُمْ أَنَّ النَّاسَ كَانُوا بِآيَاتِنَا لَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Dan apabila tiba masa berlakunya hukuman ke atas manusia, Kami keluarkan bagi mereka Dabbah (sejenis binatang) dari bumi yang akan menyatakan kepada mereka bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat (keterangan dan pengajaran) Kami”. [al-Naml:82]

Ini merupakan ayat atau firman Allah SWT yang menceritakan akan kewujudan al-Dabbah sepertimana yang disebutkan. Menurut ahli tafsir, ayat ini menunjukkan bahawa akan keluarnya al-Dabbah ini di akhir zaman ketika manusia berada dalam kerosakan iaitu dengan meninggalkan perintah-perintah Allah SWT dan mereka juga menukar agama mereka yang haq (benar). Dengan itu, Allah SWT akan keluarkan al-Dabbah dari bumi yang akan berkata-kata kepada manusia. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 210/6]

Definisi al-Dabbah

Al-Dabbah (الدابة) menurut bahasa adalah setiap yang berjalan di atas muka bumi. [Lihat: Mukhtar al-Sihah, 101/1] Manakala, menurut istilah pula, al-Dabbah adalah sejenis binatang yang akan keluar di akhir zaman (apabila manusia dalam keadaan yang jauh daripada agama) dan keluarnya al-Dabbah ini merupakan antara tanda-tanda besar hari Kiamat sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith yang banyak. [Lihat: Tafsir al-Sa’di, 610/1]

Hadith-Hadith Berkaitan al-Dabbah

Antara hadith-hadith berkaitan al-Dabbah adalah seperti berikut sebagaimana yang kami nyatakan pada Irsyad al-Hadith sebelum ini iaitu yang bertajuk Tanda-Tanda Besar Kiamat:

Daripada Huzaifah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ السَّاعَةَ لَا تَكُونُ حَتَّى تَكُونَ عَشْرُ آيَاتٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَالدُّخَانُ وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ، وَيَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ، وَطُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنَارٌ تَخْرُجُ مِنْ قُعْرَةِ عَدَنٍ تَرْحَلُ النَّاسَ”.

Maksudnya: ““Sesungguhnya al-Sa’ah (hari Kiamat) tidak akan berlaku sehingga berlaku sepuluh tanda ini iaitu gerhana bulan di Timur, gerhana bulan di Barat, gerhana bulan di jazirah Arab, Asap, Dajjal, Dabbah yang melata di bumi (sejenis haiwan),Ya’juj dan Ma’juj, terbit matahari dari Barat, api yang keluar dari lembah Aden yang akan mengiringi manusia ”. [Riwayat Muslim (2901)]

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سِتًّا: طُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، أَوِ الدُّخَانَ، أَوِ الدَّجَّالَ، أَوِ الدَّابَّةَ، أَوْ خَاصَّةَ أَحَدِكُمْ أَوْ أَمْرَ الْعَامَّةِ

Maksudnya: “Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Terbitnya matahari dari Barat, asap, Dajjal, al-Dabah, perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian) dan urusan umum (Kiamat)”. [Riwayat Muslim (2947)]

Berdasarkan hadith-hadith di atas, keluarnya al-Dabbah merupakan salah satu daripada tanda-tanda besar atau hampirnya hari Kiamat.

Pendapat Ulama’ Berkaitan al-Dabbah

Para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan maksud atau makna al-Dabbah ini, maka kami ringkaskannya dalam bentuk nokhtah:

Pertama: Imam al-Qurthubi menyatakan al-Dabbah adalah seekor anak unta daripada unta Nabi Soleh AS yang dimasukkan oleh Allah SWT ke dalam batu dan unta tersebut akan keluar pada bila-bila masa dengan izin Allah SWT.

Kedua: Al-Dabbah yang dimaksudkan adalah al-Jassasah yang disebut atau diceritakan di dalam hadith Tamim al-Dari.

Ketiga: Al-Dabbah adalah ular yang menjaga dinding Ka’bah.

Keempat: Al-Dabbah adalah manusia yang bercakap bagi menentang orang yang melakukan bid’ah dan kekufuran.

Kelima: Perkataan al-Dabbah adalah isim (kata nama) bagi setiap binatang yang melata dan ia bukanla haiwan tertentu yang memiliki berbagai keajaiban dan keanehan. Berkemungkinan yang dimaksud dengannya adalah bakteria yang berbahaya yang telah membuat manusia menderita dari sudut badan dan kesihatannya.

Untuk itu, kami nukilkan sebagai kesimpulan daripada pendapat-pendapat di atas daripada pengarang kitab Mausu’ah al-Akhirat bahawa al-Dabbah mempunyai ciri-ciri khas yang berbeza dari sudut kekuatan, keluasan, keilmuan dan juga kecantikan yang mana ia diutuskan oleh Allah SWT bagi tujuan tertentu untuk diselesaikan. Tambahan pula, tidak sesiapa yang mampu untuk lari daripadanya atau daripada tujuannya dan jika seseorang itu ingin mencari atau menghendakinya nescaya dia tidak mampu untuk melakukan hal sedemikian. Ia juga akan datang kepada sekalian manusia di atas muka bumi ini seakan-akan nama-nama mereka (manusia) ada dengannya iaitu al-Dabbah. [Lihat: Mausu’ah al-Akhirat Ashrath al-Sa’ah, 173, 174]

Tempat Keluar al-Dabbah

Para ulama’ juga berbeza dalam menentukan tempat keluarnya al-Dabbah ini:

Pertama: Al-Dabbah akan keluar dari Makkah al-Mukarramah iaitu dari masjid yang paling mulia.

Kedua: Al-Dabbah ini akan keluar melalui tiga tempat. Ia akan keluar di sebahagian lembah dan kemudiannya bersembunyi. Kemudian ia keluar lagi di sebahagian kampung, lalu ia muncul di Masjid al-Haram.

Terdapat beberapa lagi pendapat-pendapat lain yang menceritakan berkaitan tempat keluarnya al-Dabbah ini. Akan tetapi, sebahagian besar daripada pendapat-pendapat dalam masalah ini menyatakan bahawa tempat keluarnya al-Dabbah ini adalah dari tanah haram Makkah.

Penutup

Kesimpulannya, kita sebagai seorang yang beriman wajib beriman dengan apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT serta Rasul-Nya. Ini kerana, hal ini termasuk di dalam beriman dengan perkara-perkara yang ghaib. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita semua daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

Wallahua’lam

Sumber : Harian Metro , Mufti Wilayah Persekutuan

Disediakan oleh Adam Hawa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here