“ Kami akan kenang Allahyarham sebagai sahabat walaupun tidak pernah mengenali antara satu sama lain,” kata Mohd Amiro Hafizol Zukafli yang ditemui ketika menziarahi pusara Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd Bari di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah, di Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd Amiro Hafizol, 29, antara lima wira dalam insiden di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, Jumaat lalu kerana keberanian mereka menyelamatkan nyawa lima sekeluarga yang nyaris lemas selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm dinaiki meluncur sebelum terjunam ke sungai pada 9.40 malam.

Terdahulu, Mohd Amiro Hafizol bersama Saiful Anuar Mohd, 37; Shahrul Mizan Harun, 34 dan Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28, meluangkan masa hampir satu jam di pusara berkenaan.

Turut bersama empat wira terbabit adalah bapa dan adik Allahyarham, Mohd Mustafa, 66, dan Ahmad Lutfi, 21.

Bagaimanapun, Omar Abdul Aziz Othman, 27, yang juga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu tidak bersama kerana ada urusan di Putrajaya.

Menurut Mohd Amiro Hafizol, keberanian Allahyarham, 31, adalah satu perkara yang luar biasa dan pemergiannya memberi kesan mendalam kepada mereka berlima.

“ Memang kami tidak mengenali tetapi kami anggap dia hero sebenar dan kami akan ingat apa yang berlaku pada malam itu sampai bila-bila.

“ Doa kami agar Allahyarham tenang dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Tambahnya, dia menyedari kehilangan Allahyarham selepas semua mangsa berjaya dibawa ke tebing.

“ Saya yang terakhir terjun ke sungai membantu membawa kanak-kanak berusia 11 tahun naik ke darat selepas rakan keletihan dan meminta saya membantu kanak-kanak terbabit.

“ Ketika itu, kanak-kanak terbabit dihanyutkan arus ke tengah sungai. Dia tidak tahu berenang tetapi saya kagum kerana dia tidak panik dan pandai mengapung dirinya dalam keadaan terlentang,” katanya.

Saiful Anuar pula berkata, bibirnya tidak pernah putus membaca doa Nabi Yunus dan sentiasa ingat Allah ada bersama mereka sepanjang berada di dalam sungai.

“ Saya menyelamatkan kanak-kanak berusia tiga tahun dan ketika membawanya, saya sudah keletihan namun saya kuatkan semangat selain tidak berhenti membaca doa Nabi Yunus sehinggalah kami selamat sampai di Jeti Marin, berhampiran lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Mohd berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan dan menziarahi kubur anak ketiga daripada lapan beradik itu.

“ Hanya Allah yang mampu membalasnya,” katanya.

Dalam sedutan video di bawah, Saiful turut memberitahu sewaktu dia cuba menyelematkan bayi yang berumur lingkungan 3 tahun itu, ada seorang lagi waktu itu yang sedang tenggelam timbul.

” Saya terus berenang pergi kepada mngsa yang berumur 3 tahun tu..saya ambik, masa yang sedang pegang baby tu terus tenggelam.

” Saya ambil baby tu, saya kira yang pegang baby tu boleh timbul balik. Tapi saya tengok dia terus tenggelam…”

Lihat Video Di Bawah

ISTIGHFAR NABI YUNUS

Soalan:

Apakah yang dimaksudkan dengan istighfar Nabi Yunus dan yang mana lebih afdhal di antara Sayyid al-Istighfar atau istighfar Nabi Yunus?

Jawapan:

Melihat kepada soalan di atas, istighfar itu mempunyai banyak bentuk dan lafaz. Antaranya ialah istighfar atau doa Nabi Yunus AS ketika di dalam perut ikan Nun. Doa ini dirakam oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an:

Firman Allah SWT:

لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. [al-Anbiya’:87]

Di dalam tafsir Ibn Kathir ada menceritakan kisah bagaimana Nabi Yunus AS ditelan oleh ikan paus. Nabi Yunus AS telah pergi dengan menaiki kapal bersama kaumnya. Kapal tersebut dipukul ombak besar lalu mereka merasa takut kapal itu akan karam. Lalu, mereka mengundi salah seorang di antara mereka yang harus dibuang ke laut untuk meringankan bebanan kapal tersebut. Maka undian pun terkena kepada Nabi Yunus AS. Akan tetapi, mereka enggan untuk membuangnya. Lalu mereka pun mengulanginya dan undian tersebut terkena lagi kepada Nabi Yunus AS. Akan tetapi, mereka juga enggan untuk membuangnya. Lalu mereka pun mengulanginya untuk kali yang ketiga dan undian tersebut terkena juga kepada Nabi Yunus AS. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 321/5]

Tambahan pula, di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam al-Jami’:

Daripada Sa’ad bin Abi Waqas RA bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الحُوتِ: لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ، فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ

Maksudnya: “Doa Nabi Yunus ketika baginda berdoa di dalam perut ikan paus: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. Maka sesungguhnya tidak seorang muslim itu apabila berdoa dengannya untuk sesuatu perkara (masalah) melainkan Allah SWT akan memustajabkan baginya”. [Riwayat al-Tirmizi (3505)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh berpendapat sanad hadith ini sebagai hasan]

Untuk itu, istighfar atau doa tersebut juga mempunyai kelebihan yang tertentu sebagaimana istighfar-istighfar yang lain berdasarkan hadith di atas. Bagi menjawab persoalan istighfar yang lebih afdhal di antara istighfar-istighfar yang dinaskan oleh syara’, maka kami berpandangan bahawa Sayyid al-Istighfar adalah lebih utama kerana Nabi SAW menamakannya sebagai penghulu segala istighfar. [Rujuk kepada Irsyad al-Hadith No. 168]

Dengan itu juga, kami tidak menafikan berkenaan dengan doa Nabi Yunus AS ini. Tetapi ia sudah tentu mempunyai adab-adab yang memustajabkan doa tersebut.

Walaubagaimanapun, kita dibolehkan untuk mempelbagaikan bacaan istighfar dalam kehidupan kita dan tidak tertumpu hanya pada satu bacaan sahaja. Ini kerana, setiap bacaan itu mempunyai kelebihan-kelebihannya yang tersendiri. Di sana terdapat beberapa syarat-syarat istighfar yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar, antaranya: [Lihat: Fath al-Bari, 100/11]

Niat yang benar
Tawajjuh (menghadapkan diri hanya kepada Allah SWT)
Beradab (Menjaga adab-adab)

Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa beristighfar dan memohon ampun kepada-Nya. Amin.

Wallahua’lam

Sumber 1 : hmetro
Sumber 2 : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Kredit : NewscoViral