(Kisah Benar)

Kami guru-guru lelaki tengah makan di kantin sekolah masa ni. Memang menjadi kebiasaan kami makan di bahagian makan pelajar, sebab bahagian dalam didominasi guru perempuan.

Saya duduk di sebelah Cikgu Aziz masa ni. Cikgu Aziz adalah guru kelas pendidikan khas.

Masa kami mula makan tu, hanya ada guru-guru di kantin. Tengah-tengah kami makan tu, keluarlah pelajar-pelajar kelas pendidikan khas untuk rehat.

Mereka memang rehat awal sikit. Susah kalau nak keluar rehat dengan pelajar biasa, sebab sebahagian mereka memang akan bermasalah bila bercampur dengan orang ramai. Lagipun mereka tak ramai.

Masa kami tengah makan itulah, saya nampak seorang budak lelaki datang ke arah kami. Tadi dia makan di belakang sana, dia tinggalkan nasi dan berjalan cepat-cepat ke arah kami.

Bukan sekadar cepat-cepat, malah dia berjalan senget-senget.

Mulutnya terkumat kamit, saya tak faham apa yang dia cakap mulanya. Namun bila dia dekat dengan kami, barulah saya dengar…

“CIKGU, TOLONG CIKGU… NYETOK CIKGU… TOLONG CIKGU, KITO NYETOK CIKGU…”

“Allahu Akbar!” Cikgu Aziz menjerit dan terus memegangnya.

Cikgu Aziz memang kenal pelajar ini, dia yang mengajarnya.

Saya sempat lihat mata kanan pelajar itu berkelip-kelip macam ada gangguan saraf. Tangan kanannya, kaki kanannya, kejang dan menggeletar. Bengkok. Keras.

Segera Cikgu Aziz merebahkannya atas ribaan. Cikgu Aziz memegang rahang pelajar ini, diurut-urut supaya lembut. Sambil mengalunkan zikir-zikir memohon bantuan Allah.

Semua cikgu pun bangun, tinggalkan sarapan masing-masing. Semua cikgu pun panik, namun semua menghulur tangan. Memegang tangan dan kaki pelajar ini, semua cikgu mengurut-urut tangan dan kakinya.

Masa itu, kelihatan muka, tangan dan kakinya pucat. Macam tiada darah.

Jujurnya, saya juga sangat panik.

Saya, Cikgu Riza, Ustaz Zairi, dan cikgu-cikgu lain terus mengurut dan berzikir. Sempat juga Cikgu Aziz memberitahu kami semua yang pelajar ini memang ada sejarah sawan. Dan sekarang pun dia terpaksa makan ubat pagi dan malam.

Urut.

Zikir.

Guru-guru perempuan juga datang dan cuba membantu.

Lama-kelamaan, nampak tubuhnya sudah merah kembali. Tubuh yang terketar-ketar tadi beransur tenang. Akhirnya nafasnya juga tenang.

“Alhamdulillah…” kedengaran suara cikgu-cikgu.

Pelajar itu terus memeluk Cikgu Aziz dalam ketakutan. Dia menutup mukanya. Mungkin kerana takut. Mungkin kerana segan kerana sangat ramai guru-guru sedang membantu.

Wajahnya kelihatan pilu. Seperti ingin mengucapkan ucapan terima kasih paling ikhlas di dunia.

Dia cuba bangun.

Namun masih lemah.

Lantas Cikgu Aziz bangun bersama, dan memapahnya kembali ke kelas.

Kami kembali ke meja makan kami.

Cikgu Aziz pun kembali ke kantin untuk menyambung makan sarapannya yang sudah sejuk.

Lalu cikgu-cikgu SMK Pasir Mas ini pun kembali melaksanakan tugas kami. Masuk kelas, mengajar, dan menjaga keselamatan pelajar kami sebaiknya.

Kerana itu tugas kami. Dan itu tanggungjawab yang negara dan ibu bapa pelajar itu galaskan di atas bahu kami.

Berlalu satu hari yang mencemaskan.

Besarnya pengorbanan guru-guru.

Terima kasih cikgu.
Terima kasih.

#SyafiqFadeli
#ProtalkMalaysia

Sumber : Syafiq Fadeli