Suatu Hari Keluarga Wafi Datang Bawa Rombongan Meminang. Alang Terkejutnya Aku Nampak Kak Nah Ada Dekat Situ

0
3370

Assalamualaikum. Hai semua. Selama ni saya silent reader di sini. Saya tak pandai menulis. Cuma tergerak nak kongsi secebis pengalaman hidup lepas terjumpa diari 10 tahun lepas. Tersenyum sendiri. Hiks.

Semasa umur saya lingkungan 20-an, kawan-kawan biasanya sudah membuat list suami idaman bagaimana yang mereka mau, tak kisah lah dari sudut fizikal ataupun sahsiah. Malah mereka pernah berkongsi dengan saya beberapa lelaki yang mereka minat dari jauh ketika belajar di kampus dulu. Saya? Entah. Masa tu tak rasa nak kahwin. Dan tak tahu apa yang saya nak dari lelaki. Tak tahu lelaki macam mana yang saya idam-idamkan. Tak tahu suami macam mana yang saya cari untuk dijadikan pasangan hidup. Dalam kepala saya cuma satu. Saya nak cari mak mertua! Sebab apa? Sebab.

Dulu saya selalu ikut mak ayah saya meminang isteri untuk abang-abang saya. Saya juga menyaksikan rombongan meminang kakak-kakak saya. Saya yang paling bongsu dalam keluarga. Selepas pertemuan pertama keluarga-keluarga bisan mak ayah saya ni, mak ayah saya tak pernah beri komen atau pujian tentang bakal menantu mereka. Apa yang mereka ulas panjang lebar hanya bakal bisan. Contohnya yang mak saya selalu cakap

“mak sukalah mak dia. Boleh buat kawan. Suka senyum!”…. “mak sukalah mak ayah dia… Tak kekok nak bersembang. Macam-macam kita juga. Orang kampung”… “ayah suka ayah dia. Hobi sama dengan ayah. Suka sembang politik!”.. Haha

Jadi apa yang saya dapat simpulkan. Selain cari suami, ada hal yang lebih utama. Iaitu cari ‘kawan’ kepada mak ayah kita juga iaitu bisan merekalah. Sebab saya pernah dengar mak saya pesan kepada abang saya

“mak tak kisah bakal menantu mak macam mana. Sebab hangpa yang nak hidup dengan dia. Yang penting mak nak kenal mak ayah dia dulu. Sebab mak nak berkawan dengan depa. Mak yakin kalau mak ayah dia orang baik-baik, anak-anak depa pun mesti baik-baik juga”.

Jadi dari remaja lagi fikiran saya dah set yang saya kena cari mak mertua. Bukan suami. Saya juga pernah senaraikan mak mertua macam mana yang saya nak. Tapi angan-angan hanya berhenti di situ sahaja sehinggalah… (haa.. Baru nak masuk isi.. Haha.. Sorry panjang pula intro)..

Sehinggalah ada satu ketika saya perlu menjalani praktikum selama 3 bulan di sebuah sekolah rendah. Pada hari pertama saya di sekolah, seperti biasalah saya akan pergi dari satu meja ke satu meja untuk berjumpa setiap guru di situ untuk perkenalkan diri. Sehinggalah sampai ke meja seorang guru ni, dia tengah baca al-quran. Jadi saya batalkan niat untuk tegur dia. Segan pula nak ganggu dia baca alquran.

Pada keesokan paginya saya berjaya bertegur sapa dengannya ketika kami sama-sama berjalan punch in di pejabat. Senyumannya, masyaAllah. Manis sangat. Umurnya lingkungan 50-an. Entah mengapa saya tertarik sangat dengan cikgu ni. Cikgu ni saya panggil Kak Aminah atau nama comel dia Kak Nah. Dia ada aura positif. Orangnya lembut. Sopan santun. Tidak pernah dengar dia tinggi suara pada murid. Tapi kalau lalu kelas yang dia mengajar, murid tak bising. Tak tahu macam mana dia handle murid dengan suara yang sopan santun begitu… Kalau saya mengajar dalam kelas suara terlolong, terpekik terjerit semua keluar. Haha.

Okay berbalik kepada cikgu ini. Sepanjang 30 bulan saya di sana, saya banyak curi-curi pandang dia. Pagi-oagi selepas perhimpunan dia akan ke surau. Solat dhuha. Selepas rehat dia akan baca quran sehelai dua di tempat duduknya. Jarang-jarang tengok dia bual-bual kosong dengan cikgu-cikgu lain. Kalau tengok dia berkasih sayang dengan murid saya selalu tanya diri sendiri, kenapa kau tak penyanyang macam tu?

Kalau bekerja dengan dia, jarang sekali atau hampir tak pernah dengar dia mengumpat tentang orang lain. Apa yang dia selalu cerita adalah tentang kebaikan orang pada dia terutama suaminya. Oh ya. Cikgu ini mengajar subjek teknologi maklumat dan pendidikan seni muzik. Ini antara hal yang membuatkan saya berasa sangat malu dengan sahsiahnya yang memang tip top berbeza dengan diri saya yang bergelar ustazah tapi lagha nya nauzubillah.. Bila bersamanya hati saya berdebar hebat. Sepanjang 3 bulan saya kat sana sedikit sebanyak kak nah membentuk peribadi saya yang kurang baik menjadi baik. Betapa waktu itu hati saya memberontak nak jadi solehah macam dia.

Minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan. Saya mula teringat pada mak mertua idaman saya. Dan hati saya terdetik. Yes! She’s the one! Tetapi saya tak tau macam mana nak confess tentang perasaan saya pada dia. Macam mana saya nak cakap yang saya nak jadi menantu dia. Lagi haru saya tak tau adakah dia ada anak lelaki ke tidak. Haha. Kalau ada pun saya tak tau dah kerja ke, kecik lagi ke.

Dalam masa yang sama, ketika di sekolah itu saya berkenalan dengan seorang technician, wafi di sekolah tu. Waktu tu wafi betulkan aircond makmal yang rosak. Kadang-kadang dia datang betulkan komputer dalam makmal yang tak ok. Disebabkan saya ni guru praktikum jadi pengajaran saya banyak guna makmal komputer. Kami berkenalan, berkawan dan bertukar no telefon. Dan kawan tu berterusan sehingga saya tamat praktikum di sana.

Pada hai terakhir saya di sana, saya pernah bisik pada Kak Nah tolong doakan saya. Antaranya pasal jodoh. Kak Kah tanya, nak jodoh yang macam mana nanti dia doakan. Saya cakap saya tak kisah asalkan mak mertua saya macam Kak nah. Kak Nah hanya senyum saja. Manis sangat.

Di tahun akhir saya di kampus, Wafi beritahu saya yang dia suka saya dan nak masuk meminang. Dan dalam masa yang sama, Kak Nah juga pernah datang jumpa saya dan dia offer nak jadikan saya menantu dia (masa tu terkejut sangat). Katanya anak dia tengah mencari dan minta dia yang carikan. Saya tanya anaknya tak kisah ke kalau kawen dengan saya? Dia kata InsyaAllah anak dia suka dengan pilihan dia. Kalau setuju nanti dia aturkan pertemuan kami. Masa tu masyaAllah blushing sangat bila Kak Nah cakap macam tu.

Saya mula berbelah bagi. Saya dah mula sukakan wafi. Kami ada banyak persamaan. Minat sama. Hobi sama. Rasa macam boleh masuk. Tapi saya tak kenal keluarga dia. Mak ayah dia. Tapi wafi berjanji kalau saya setuju nak teruskan hubungan ni, dia akan bawa mak dia jumpa saya. Ayahnya dah meninggal.

Kak Nah pula… Ya.. Dia mak mertua idaman saya. Tapi benarkah anak dia betul-betul sukakan saya? Macam mana penerimaan anak dia? Dan yang lebih penting, betulkah saya boleh hidup sampai mati bersama anak Kak Nah sedangkan saya hanya suka ibunya sahaja?

Saya solat. Minta petunjuk. Sehinggalah hati saya tenang mengatakan Wafi adalah jodoh saya. Kami set tarikh merisik dan meminang. Masa tu saya baru tamat belajar. Wafi bawa ibu, ibu dan ayah saudara serta adiknya ke rumah saya.

Semasa saya keluar ke ruang tamu untuk bersalaman dan berkenalan dengan keluarga wafi, alangkah terkejutnya saya bila Kak Nah ada di situ. Baru saya tau yang rupanya Wafi adalah anak Kak Nah. Sebelum ini Wafi sering ke sekolah membaiki komputer kerana Kak Nah minta tolongnya sebab Kak Nah memang guru makmal komputer.

Waktu itu saya rasa sayalah orang paling beruntung dalam dunia ini. Terima kasih ya Allah kau berikan aku kedua-duanya. Mak mertua idaman dan lelaki yang pertama kali dalam hidup aku yang aku suka.

Akhirnya. Cikgu yang dulu saya panggil Kak Nah sekarang saya panggil ummi. Kalau dulu saya curi-curi pandang dia, sekarang saya tak pernah jemu pandang senyumannya hari-hari. Selama enam tahun saya jadi menantunya tak pernah sekalipun dia bermasam muka dengan saya jauh sekali tinggi suara bukan sebab saya menantu terbaik. Tapi kerana penyabarnya dia layan saya yang serba serbi tak tau, tak cekap, malas. Haha.

Hari ini. 29/12/2018 genap sebulan ummi tinggalkan kami terima kasih ummi sudi terima neha jadi menantu ummi. Terima kasih untuk setiap kebaikan Ummi pada neha. Neha redha walaupun ummi pergi terlalu cepat. Neha rasa tak puas mengenali ummi. Tak puas tengok ummi senyum. Tak puas tengok ummi senyum simpul malu bila neha tak berkedip tengok ummi. Tak puas nak manja-manja dengan ummi. Terima kasih ummi sebab didik abang wafi jadi suami yang terbaik untuk neha. Doakan neha dapat didik cucu-cucu ummi sebaik ummi didik anak-anak ummi.

Sungguh, kami semua rindukan ummi. Al-fatihah.

– Neha, menantu ummi yang bertuah…

Sumber : IIUM Confessions -BM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here