‘Saham Akhirat Paling Berharga’ – Waris Mangsa MH17 Wakafkan Semua Wang Pampasan Untuk Pembinaan Surau.

0
3341

SEBUAH surau yang sedang dalam pembinaan di Jalan Depo, Petra Jaya menyimpan sejarah sebuah keluarga yang terkorban dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH17 pada 2014 lalu.

Menurut sumber, surau hampir siap dibina itu dan diberi nama Al-Ghazali berkenaan dibangunkan dengan wang pampasan diterima keluarga terbabit.

Menurutnya, pembinaan peringkat awal Surau Al-Ghazali merangkumi ruang solat utama, ruang solat wanita, tandas, tempat wuduk, pejabat dan tempat meletak kenderaan.

Katanya, surau yang dibina dengan kos kira-kira RM3.5 juta itu mampu menampung 450 jemaah pada satu-satu masa.

“Ahli keluarga yang terdekat sebulat suara mewakafkan wang pampasan semua mangsa agar dapat menjadi dana akhirat mereka. Semoga Allah merahmati kesemua arwah,” katanya.

Sekeluarga yang maut dalam nahas MH17 itu adalah Tambi Jiee, 49, dan isterinya Ariza Ghazalee, 46, serta empat anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13.

Ketika nahas, mereka yang berasal dari Kuching dalam penerbangan pulang ke Malaysia selepas Tambi menamatkan perkhidmatan selama tiga tahun dengan syarikat Shell di Kazakhstan.

Pesawat MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh ketika melalui ruang udara sempadan Ukraine-Rusia pada 17 Julai 2014 sekali gus mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

 

SURAU Al-Ghazali yang sedang dibangunkan menggunakan wang pampasan keluarga Allahyarham Tambi di Jalan Depo, Petra Jaya, Kuching.

Lagi gambar Masjid Al-Ghazali dalam proses pembinaan

Apa Sebenarnya Wakaf? Ini Antara Kebaikan Wakaf Yang Anda Perlu Tahu

Kelebihan Berwakaf

Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan Umat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala.

Para Fuqahah (ahli fiqh dan ulama’) berpendapat amalan wakaf merupakan ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf buat selama-lamanya dan sangat dituntut dalam agama Islam.

Ia merupakan suatu amal soleh yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada pewakaf selagi mana harta atau ain yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan oleh orang ramai.

Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah Taala, dengan demikian kedudukan harta waqaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah ( diberi ) , diwarisi dan dipusakai.

Allah S.W.T telah mensyariatkan wakaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu agenda untuk mendampingkan diri kepadanya dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah Taala sebagaimana firman Allah :-

 مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٲلَهُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍ مِّاْئَةٍُ حَبَّةٍ۬‌ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ‌ۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ

Mafhumnya :-

“ Bandingan ( pahala ) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( KurniaNya ) lagi Maha Mengetahui”.

( Surah Al-Baqarah Ayat 261 )

Rasulullah S.A.W sendiri amat menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan sedekah jariah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A yang bermaksud :-

عَنْ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ تَعَالى عنه ‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏قَالَ : ‏ ‏إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاثَةٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، اَوْعِلْمِ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ.

Maksudnya :-

“ Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah , ilmu yang dimanfaatkannya dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya.

( Hadis Riwayat Muslim )

Hikmah Berwakaf

Allah s.w.t berfirman didalam surah al-imran ayat 115 yang bermaksud:

Dan apa sahaja kebajikan yang mereka lakukan, maka mereka tidak sekali-kali akan dinafikan atau disekat daripada mendapat pahala. Dan ingatlah allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertakwa.

Antara hikmah yang terdapat didalam ibadah wakaf ialah:

  • menzahirkan pengabdian diri kepada allah s.w.t
  • sebagai langkah mendekatkan diri kepada allah s.w.t
  • mendapat kebajikan yang berkekalan walaupun pewakaf telah meninggal dunia
  • berkongsi manfaat dikalangan umat islam dalam menyemarakkan syiar islam.
  • Ianya dapat mengukuhkan perpaduan dan ekonomi ummah dan
  • Ianya juga secara tidak langsung dapat mengekalkan pemilikan dan pengkongsian aset umat islam di Negara ini khususnya.

Sumber 1 : Harian Metro
Sumber 2 : Majlis Agama Islam Johor
Sumber 3 : Masjid Al-Ghazali

Disediakan oleh AdamHawa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here