Rezeki Sentiasa Melimpah Ruah Tapi Belum Pernah Sujud Syukur ? Ini Cara Melaksanakannya

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri. Saya lihat ramai pemain bola melakukan sujud syukur tatkala menjaringkan gol atau meraih kemenangan dalam perlawanan bola. Ini termasuk di dalam dan luar negara seperti Mohamad Solah, pemain Liverpool yang terkenal. Adakah sujud syukur perlu kepada wudhu’ dan bagaimana kaifiatnya?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Syukur merupakan pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memujinya. Hakikatnya menzahirkan atas kesan nikmat pada lidah, hati dan anggota badan di mana lidah memuji, hati mengiktiraf dan anggota badan melakukan mengikut apa yang diredhai-Nya. (Lihat Madarij al-Salikin, 2/244)

Syukur pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya. (Lihat Hasyiah al-Syabramalisi, 1/22)

Sedangkan takrif sujud syukur sebagai sujud yang dilakukan oleh seseorang ketika mendapat nikmat atau tertolak bala. (Lihat Syarh al-Minhaj dan Hasyiah al-Qalyubi, 1/208)

Ulama khilaf berkenaan dengan sujud syukur:

  • Ia tidak disyariatkan. Inilah pendapat Abu Hanifah, Malik dalam satu pendapat yang masyhur dan al-Nakha’ie mengikut yang dinyatakan oleh Ibn al-Munzir.
  • Ia disyariatkan dan hukumnya sunat. Inilah pendapat Imam Syafi’e, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur, Ibn al-Munzir, Abu Yusuf, Muhammad Ibn Habib daripada mazhab Maliki dan Ibn Qassar menisbahkan kepada Imam Malik bahkan ditashihkan oleh al-Banani.
    Antara hujahnya:

Daripada Abi Bakrah R.A berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَتَاهُ أَمْرٌ يَسُرُّهُ أَوْ بُشِّرَ بِهِ ، خَرَّ سَاجِدًا ، شُكْرًا لِلَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila datang kepadanya sesuatu yang menggembirakan atau khabar gembira, beliau lantas sujud untuk berterima kasih kepada Allah SWT.”

Riwayat Ibn Majah (1394)

Dalam riwayat lain, daripada Abi Bakrah R.A juga, beliau berkata:
اَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ اِذَا جَاءَهُ خَبَرٌ يَسُرُّهُ خَرَّ سَاجِدًا ِللهِ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya apabila datang kepada Nabi SAW sesuatu yang baik yang menggembirakan, beliau langsung sujud kerana berterima kasih kepada Allah SWT.”

Sunan Abi Dawud (2774)

Berdasarkan dalam sejarah Islam, kita dapati ramai tokoh yang sujud syukur. Antaranya:

  • Saidina Abu Bakar al-Siddiq R.A sujud syukur apabila dapat membuka kota Yamamah dan mendengar perkhabaran Musailamah al-Kazzab dibunuh.
  • Saidina Ali R.A ketika mendapati terbunuhnya Za Thadiyah daripada kalangan Khawarij, telah melakukan sujud syukur.
    Syarat Sujud Syukur

Syarat sujud syukur menurut mazhab Syafi’i sama dengan solat dan sujud tilawah, iaitu:

  • Suci dari hadas kecil dan besar
  • Pakaian dan tempat yang dipakai sujud hendaklah suci.
  • Menutup aurat, menghadap kiblat, niat melaksanakan sujud syukur.
  • Masuknya waktu sujud iaitu segera setelah waktu terjadinya nikmat atau terhindarnya musibah.

Berdasarkan syarat ini, jika seseorang bukan dalam keadaan suci, dia tidak perlu sujud syukur sepertimana yang dinyatakan oleh al-Syarqawi. Walaupun begitu, di sisi sebahagian Malikiyah, adalah harus tanpa wudhu’.

Al-Khattab berkata, rahsia makna yang membawa kepada sujud syukur akan hilang jika kita ta’khirkan sujud syukur sehingga kita bersuci. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 24/248)

Hal ini sama seperti pendapat Imam Syaukani yang berkata: “Dalam Sujud Syukur tidak terdapat sebuah hadis pun yang menjelaskan bahawa untuk melakukannya disyaratkan berwuduk, suci pakaian atau tempat sujudnya.”

Cara Sujud Syukur

Sujud syukur sama dengan sujud solat atau sujud tilawah dengan sedikit perbezaan. Berikut merupakan cara sujud syukur menurut mazhab Syafi’e:

  • Mengadap kiblat.
  • Niat sujud syukur (dalam hati): “Saya niat sujud syukur sunat kerana Allah” (نويت سجود الشكر سنة لله تعالى)
  • Takbir dan mengangkat kedua tangan untuk melaksanakan sujud seperti hendak takbiratul ihram.
  • Sujud tanpa mengangkat tangan ketika turun hendak sujud
  • Sujud hanya satu kali dan sunat membaca “سبحان ربي الأعلى” tiga kali dan membaca doa berikut [سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ ، وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ ، بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ]
  • Mengangkat kepala dari sujud dengan takbir.
  • Duduk tanpa membaca tahiyat (tasyahud) dan
  • Diakhiri dengan mengucapkan salam. (Lihat al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi, 4/68)

Sebagai peringatan, ulama’ Syafi’e dan Hanbali berpendapat, tidak harus sujud syukur ketika dalam solat kerana sebabnya luar daripada solat. Jika ia sujud syukur ketika solat, nescaya batal solatnya. Mereka berpendapat: Kecuali seseorang itu jahil atau terlupa, maka tidak batal solatnya. (Lihat al-Majmu’, 4/68; Raudhah al-Talibin, 1/325 dan Nihayah al-Muhtaj, 2/97)

Menjawab persoalan di atas, sememangnya dalam Mazhab Syafi’e, syarat dan cara sujud syukur seperti yang dinyatakan. Tetapi dalam kes yang disebut, saya melihat sebagai satu gambaran kegembiraan pemain Islam yang sedikit sebanyak boleh memberi kesan dalam bentuk dakwah untuk menzahirkan kesyukuran dan mengingatkan kepada Allah. Atas asas ini, taqlid kepada mazhab yang lain seperti mazhab Malik pada satu qaul dan juga pendapat Imam Syaukani boleh diterima pakai.

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan agama kita untuk kita laksanakan dengan sebaiknya. Amin.

Sumber: muftiwp

Inilah Cara ‘Sujud Sahwi’ Yang Betul Bila Terlupa Rakaat Dan Doa Qunut. Jom Baca, Tambah Ilmu

“Rasanya aku lupalah nak baca doa qunut tadi. Apa patut buat aku buat ya?”

Kita sebagai hamba Allah yang lemah memiliki banyak kekurangan. Kita tak akan terlepas dari sifat lupa atau leka walaupun ketika beribadah kepadaNya. Sujud sahwi adalah cara untuk menutup kekurangan dalam solat fardhu.

HUKUM SUJUD SAHWI

Sahwi bererti lupa. Menurut Imam merangkap Penolong Pengarah Pembinaan Sakhsiah Masjid Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Zuhairee Mohd Yatim, sesuai dengan namanya, sujud sahwi ini dilakukan adalah untuk menampung beberapa jenis kesalahan yang dibuat ketika solat akibat lalai atau terlupa.

Antara kesalahannya adalah terlupa melakukan salah satu sunat ab’adh, iaitu tahiyat awal dan doa qunut.

Hal ini adalah berdasarkan hadis daripada al-Mughirah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila salah seorang kamu berdiri sesudah dua rakaat tetapi ia belum sampai sempurna berdiri, maka hendaklah ia duduk kembali (untuk tasyahud pertama) tetapi jika ia sudah berdiri dengan sempurna, maka jangan ia duduk kembali dan hendaklah ia sujud dua kali (Sujud Sahwi)”. (Riwayat Ahmad)

Selain itu, ia juga dianjurkan sekiranya kita berasa ragu-ragu terhadap bilangan rakaat.

Dari Abu Sa’id al-Khudri RA, di mana Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِـيْ صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى؟ ثَلاَثًا أَوْ أَرْبَعًـا؟ فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَـا اسْتَيْقَنَ ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ. فَإِنْ كَـانَ صَلَّى خَمْسًا شَفِعْنَ لَهُ صَلاَتُهُ، وَإِنْ كَانَ صَلَّى إِتْمَامًا ِلأَرْبَعٍ كَانَتَا تَرْغِيْمًا لِلشَّيْطَانِ.

“Jika salah seorang di antara kamu ragu dalam solatnya sehingga dia tidak tahu berapa rakaat yang telah dia lakukan, tiga rakaat atau empat rakaat. Maka hendaklah ia tepis keraguan itu dan ikutilah yang dia yakini. Setelah itu, hendaklah dia sujud dua kali sebelum salam. Jika ternyata dia mengerjakan lima rakaat, maka dia telah melengkapkan solatnya. Namun, jika dia mengerjakan empat rakaat, maka dua sujud tadi adalah penghinaan bagi syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i RA)

Sujud sahwi hukumnya adalah sunat. Ini bermakna, tidaklah batal solat seseorang jika tidak dilakukan.

CARA SUJUD SAHWI YANG LENGKAP

Walaupun hukumnya sunat, eloklah kita melakukannya apabila perlu. Ini kerana, cara sujud sahwi sebenarnya amat mudah, iaitu seperti berikut:

1. NIAT

Sujud sahwi perlu diniat terlebih dahulu pada penghujung rakaat terakhir. Sesudah tahiyat akhir, sebelum memberi salam, takbir dan sujud dengan lafaz sujud sahwi.

*Menurut kuliah Ustaz Don Daniyal, jika kita sudah berniat mahu melakukan sujud sahwi, duduk tahiyat akhir seeloknya dalam keadaan duduk antara dua sujud.

2. SUJUD

Lafaz ini dibacakan 3 kali dalam sujud sahwi:

سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَيَسْهُوْ

Subhana Man Laa Yanaamu Walaa YasHuu

Maksudnya: Maha suci Allah, zat yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa

3. DUDUK ANTARA DUA SUJUD

Selepas membaca lafaz tersebut, bangun daripada sujud dan duduk dalam posisi di antara dua sujud, sama seperti yang biasa kita lakukan dalam solat. Bacaan juga sama seperti duduk antara dua sujud.

4. SUJUD SEKALI LAGI

Sesudah itu duduk kembali pada posisi duduk di antara dua sujud dan lakukan sujud sahwi sekali lagi. Kemudian duduk dalam keadaan tahiyat akhir dan beri salam seperti biasa (tak perlu mengulang bacaan tahiyat akhir sekali lagi).

BAGAIMANA KALAU TERTINGGAL PERBUATAN YANG TERMASUK DALAM RUKUN SOLAT?

Setakat ini, kita dijelaskan bahawa kita digalakkan melakukan sujud sahwi apabila kita terlupa sesuatu perbuatan sunat ab’adh, iaitu doa qunut atau tahiyat awal yang tidak termasuk dalam 13 rukun solat.

Jadi, apakah yang sepatutnya kita lakukan jika kita terlupa melakukan perkara yang termasuk dalam rukun (contohnya membaca al-fatihah atau rukuk)?

Menurut kuliah ini, kita tidak boleh menggantikan perkara yang tertinggal tadi dengan sujud sahwi semata-mata. Contohnya, kita terlupa membaca al-fatihah pada rakaat ketiga dalam solat maghrib.

Maka, kita perlu membaca al-fatihah yang tertinggal tadi dengan cara mengulang rakaat ketiga secara keseluruhannya (kerana rakaat ketiga tadi tidak dikira sempurna). Sebelum mengakhiri solat, barulah kita melakukan sujud sahwi.

HIKMAH SUJUD SAHWI

Sujud sahwi sangat dituntut untuk membaiki solat kita yang cela. Allah yang Maha Penyayang masih boleh menerima ibadah kita walaupun ada cacat celanya.

Segala amalan yang dituntut dalam Islam pasti ada hikmahnya. Dalam perihal sujud sahwi, kita sebagai hamba banyak kekurangannya.

Maka, Rasulullah SAW mengajar kita cara sujud sahwi sebagai salah satu cara menutup kekurangan kita.

Kita sebagai hamba perlu segera memohon keampunan kepada Allah jika khilaf. Hanya kepada Allah tempat kita bersujud dan memohon keampunan atas kealpaan kita.

Semoga amal ibadat kita diterima oleh Allah.

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Sumber : Sirap Limau via Etak Salai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *