Bapa Muda Ini Berpandangan Jauh Apabila Memilih Satu Nama Yang Bakal Memudahkan Segala Urusan Persekolahan Anaknya

0
2581

Menamakan anak adalah perkara yang disepakati oleh semua agama dan bangsa. Dalam Islam, diperintahkan untuk menamakan dengan nama-nama yang baik

Namun lain pula ceritanya dengan seorang bapa yang berfikiran jauh ke hadapan apabila memilih satu nama yang bakal memudahkan urusan persekolahan anaknya kelak.

Jelas Mohamad Arif Mohamed Kasim, dia memilih nama Airis Aurora untuk anak sulungnya yang baru berusia 17 hari.

“Saya pilih nama mula huruf A agar urusan dia akan jadi lebih mudah terutama di sekolah nanti.

“Maka lahirlah nama Airis Aurora. Airis bermaksud bunga manakala Aurora pula diambil sempena nama hero mobile legend,” katanya

Menurut pemuda yang bekerja sebagai juruteknik itu, anaknya juga mungkin akan duduk di meja paling hadapan setiap kali peperiksaan utama.

“Kebiasaannya pengawas peperiksaan akan ramai di depan. Dari situ dia akan jujur dan apa yang diusahakan masa belajar di kelas itulah yang dibawa semasa masuk ke dewan peperiksaan nanti,” katanya yang meminati permainan ‘mobile legend’ sejak dua tahun lalu.

Ditanya mengenai idea nama tersebut, pemuda berusia 25 tahun itu berkata dia terpanggil untuk menamakan anaknya bermula dengan huruf A berdasarkan pengalamannya yang bekerja sebagai juruteknik di sekolah.

Posting Mohamad Arif tular di media sosial baru-baru ini.

“Setiap kali keputusan peperiksaan ditampal di papan kenyataan, nama yang bermula huruf A akan berada di atas sekali.

“Jadi saya tak perlu tengok satu-satu nama yang ada sebab nama anak saya akan berada di atas sekali. Saya hanya perlu pandang arah atas saja,” katanya.

Bukan itu sahaja, Mohamad Arif berkata proses menunggu urusan menandatangani kad laporan anaknya juga lebih singkat.

“Kebiasaaannya ibu bapa akan datang ke sekolah untuk tandatangan kad laporan. Jadi saya tak perlu tunggu lama kerana nama anak saya akan dipanggil awal,” katanya.

Menurut pemuda berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu, pada awalnya dia dan isterinya, Lia Najihah Abdul Rasid menjangkakan mereka akan menimang cahaya mata lelaki.

“Kami memang jangka baby boy sebab scan kali pertama dan kedua tak nampak jantina. Orang ramai pun kata boy.

“Kalau boy kami akan bagi nama ikut undian tertinggi di Twitter iaitu Aisy. Tapi bila scan kali ketiga perempuan. Jadi saya tak terfikir lagi nama waktu tu.

“Lepas lahir barulah saya fikir tentang nama dia. Saya minta juga pendapat isteri saya mulanya. Tapi isteri beri kebebasan saya untuk tentukan nama anak sulung kami. Jadi saya bagi nama Airis Aurora,” katanya.

Posting Mohamad Arif mengenai nama anak sulungnya itu menjadi tular di Twitter dan di ‘Retweets’ 4,225 lebih  kali serta mendapat 2,860 tanda suka.

Sumber : mstar online

HUKUM MENAMAKAN ANAK DENGAN NAMA SELAIN ARAB

Soalan

Apa hukum menamakan anak dengan nama orang ‘Ajam (bukan Arab) seperti Richard, Bunga, Kuntum, Cheng Ho, Ramasamy?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, maka hendaklah ibubapa menamakan anaknya dengan nama yang baik dan nama yang tidak dihambakan selain kepada Allah SWT. Begitu juga, nama yang tidak ada unsur takabbur, bongkak dan yang buruk.

Justeru menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ianya merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak.

Daripada Abi al-Darda’ R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏ Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.

Riwayat Abu Daud (4948)

Berdasarkan persoalan di atas, selama mana nama tidak diertikan dengan sebarang bentuk syirik atau seperti yang dinyatakan di atas, maka hukumnya adalah dibolehkan. Inilah pendapat kebanyakan fuqaha’ sekalipun nama yang afdhal dengan dihambakan kepada Allah atau yang dipuji.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَحَبَّ أَسْمَائِكُمْ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ

Maksudnya: Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abd al-Rahman.

Riwayat Muslim (6/169), Abu Daud (2/307), al-Tirmizi (4/29),
al-Nasa’ie (2/119), Ibn Majah (2/404), al-Darimi (2/294),
Ahmad (4774) dan al-Hakim (4/274)

Bagi melengkapkan jawapan ini, kami nukilkan pendapat Dr Yusuf al-Qaradhawi yang berkata: “Ahli fiqh tidak melarang perihal apa yang saya ketahui sebagai menamakan anak dengan nama-nama bukan Arab selagi maknanya adalah baik dari segi bahasa. Ramai Muslim yang mengekalkan nama orang bukan Arab untuk kaum lelaki dan wanita selepas keislaman mereka walaupun mereka berada dalam kehidupan dan budaya orang Arab.

Nama-nama yang menyerupai nama sedemikian adalah Mariyyah al-Qibtiyyah, ibu kepada Ibrahim, putera kepada Nabi SAW yang dikenali sebagai nama al-Qibti al-Misri.

Ada juga para sahabat dan tabi’in yang nama mereka berasal daripada nama tumbuh-tumbuhan. Contohnya Talhah (pohon Talha), Salmah (pohon Salma), dan Handzalah (pohon yang buahnya begitu pahit).

Ataupun nama haiwan dan burung seperi asad (singa), fahd (harimau bintang), haitham (singa padang pasir), dan saqr (burung helang).

Ataupun nama ciptaan yang keras atau benda semula jadi seperti bahr (laut), jabal (bukit) dan sakhar (batu besar).

Ataupun nama yang berbentuk sifat yang diambil daripada makna asal. Contohnya ‘Amir (yang panjang umur), Salim (yang sejahtera), Umar (yang mempunyai umur yang panjang), Said (yang bahagia), Fatimah (yang dipisahkan daripada susuan), Aisyah (yang hidup), Safiyyah (yang bersih), dan Maimunah (yang dipercayai).

Ataupun nama orang terdahulu yang antara mereka menjadi ikutan berdasarkan jejak hidup mereka daripada kalangan Nabi, orang-orang soleh dan solehah seperti Ibrahim, Ismail, Yusuf, Musa dan Maryam.

Berdasarkan rangkuman panduan-panduan ini, seorang Muslim dibenarkan menamakan anak lelaki ataupun anak perempuan, sama ada dengan nama Arab ataupun nama bukan Arab. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 2/404-405)

Walaupun begitu, kami cadangkan berilah nama yang baik dan tiada sebarang unsur syirik serta ada harapan dan doa untuk anak yang kita namakan itu. Kami juga sarankan agar nama-nama yang diberikan perlu terbeza daripada nama yang bukan Islam. Begitu juga dengan penggunaan bin atau binti amat patut dikekalkan. Ini sesuai dengan budaya yang telah kita fahami sejak sekian lama. Tujuannya supaya tidak menimbulkan sebarang persoalan dan pertanyaan adakah seseorang ini Islam atau tidak, tetapi dengan hanya disebut nama maka akan diketahui seseorang itu Islam atau sebaliknya.

Semoga Allah jadikan zuriat kita penuh dengan ketakwaan dan juga zuriat yang soleh dan solehah. Amin.

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here