Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya ingin bertanya, jika umur muda seperti pelajar sekolah yang mempunyai banyak uban, dan dia inaikan dengan warna hitam agar dia lebih tidak segan pada rakan-rakan, apakah hukumnya?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan definisi uban dan sebab utama boleh berlaku uban di samping kerana ketuaan. Uban ialah rambut yang sudah putih (atau mulai menjadi putih). (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Terdapat beberapa faktor atau sebab utama mengapa rambut anak beruban ini berlaku, antaranya:

  • Faktor Nutrisi Tidak Seimbang

Menurut Pakar Runding Dermatologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Guru Ratnavelu, uban yang muncul pada usia muda biasanya disebabkan oleh faktor nutrisi tidak seimbang. Kata beliau: “Nutrisi tidak seimbang seperti pengambilan makanan segera secara kerap boleh menyebabkan pengeluaran pigmen pewarna rambut yang dinamakan melamin terbantut. Pigmen berkenaan dihasilkan oleh sel tubuh yang dikenali sebagai melanosit dan rambut menjadi putih kerana melanosit tidak lagi menghasilkan melanin.”

Biasanya pengeluaran pigmen yang terhenti hanya bersifat sementara bagi mereka yang kekurangan nutrisi. Jika mendapat nutrisi yang seimbang, secara automatik, pengeluaran pigmen akan kembali normal dan rambut putih akan hilang dengan sendirinya dan kembali menjadi hitam.

  • Faktor Keturunan

Selain pemakanan seimbang, faktor keturunan juga adalah penyebab yang paling biasa munculnya uban pada usia muda. Informasi mengenai rambut putih yang tumbuh lebih awal tersimpan di dalam gen. Ini bermaksud, apabila ibu bapa dan saudara terdekat mula beruban pada usia muda, kemungkinan untuk cepat beruban akan lebih besar.

  • Kurangnya Zat Besi dan Zink dan Pengambilan Ubat-ubatan

Selain itu, rambut beruban juga boleh disebabkan oleh kurangnya zat besi dan zink atau penggunaan ubat-ubatan. Menurut Dr. Guru Ratnavelu, pengambilan ubat-ubatan misalnya ubat anti malaria seperti Chloroquine boleh membawa kepada kemunculan uban.[1]

Berkaitan persoalan di atas, kami telah menjawabnya dalam beberapa artikel kami, antaranya:

Al-Kafi #742 : Hukum Mewarnakan Rambut Dengan Warna Hitam
Sila lihat di pautan: http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2405-al-kafi-742-hukum-mewarnakan-rambut-dengan-warna-hitam

Al-Kafi #588: Hukum Mencabut Uban
Sila lihat di pautan: http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/923-al-kafi-588-hukum-mencabut-uban

Dalam al-Quran, banyak nas menyebutkan tentang uban dan juga hadis Nabi SAW. Tetapi ia menggambarkan kerana usia yang tua.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan sebuah hadis daripada Jabir RA, katanya: Abu Quhafah (bapa kepada Abu Bakar, nama sebenarnya Uthman, telah memeluk Islam semasa pembukaan kota Mekah) yang rambutnya putih bak bunga kemboja (الثغامة), dibawa menemui Rasulullah SAW pada hari penawanan kota Mekah, lalu Baginda SAW bersabda:

غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ

Maksudnya: “Ubahlah warna uban rambutnya ini dengan sesuatu dan elakkanlah dari warna hitam.”

Riwayat Muslim (2102)

Imam al-Nawawi berkata: Mazhab kami berpendapat sunat menginai rambut yang beruban bagi lelaki dan perempuan sama ada warna kuning atau merah. Hukumnya haram menginaikannya dengan warna hitam mengikut pendapat yang asoh. Ada pendapat menyatakan hukumnya adalah makruh tanzihi. Dan pendapat yang terpilih adalah haram berdasarkan hadis Nabi SAW: “وَاجْتَنِبُوا السَّوَاد” yang memberi maksud “hendaklah kamu menjauhi inai yang berwarna hitam”. Inilah mazhab kami. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/204)

Syeikh Syams al-Haq al-‘Azhim Abadi berkata: Hadis ini menjadi dalil bahawa memakai inai bukan hanya dikhususkan kepada janggut dan ia juga menjadi dalil bahawa makruh menginaikan dengan warna hitam. (Lihat Aun al-Ma’bud, 11/173)

Syeikh al-Mubarakfuri pula berkata: Ini menjadi dalil yang nyata tentang larangan daripada menggunakan inai yang berwarna hitam. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/358)

Berdasarkan pendapat di atas, kami bersetuju dengan pandangan Imam al-Nawawi yang berpendapat hukumnya haram mengikut Mazhab Syafi’e atas qaul yang mukhtar (yang terpilih) dan yang asoh (yang paling sahih). Ini kerana nas hadis yang jelas.

Justeru kami cadangkan, saudara boleh berinai, tetapi pilihlah warna yang lain selain warna hitam.

Semoga kita semua sentiasa mengikut neraca syariah dalam melaksanakan kehidupan harian kita agar mendapat mardhatillah. Amin.

Nota Hujung:

[1] Lihat laman rasmi Hospital Port Dickson.

Sumber: muftiwp