‘Masya Allah, Nak Menangis Tengok Kekuatan Dia’ – Netizen kagum dengan ketabahan rider Food Panda ini .

0
1751

“Saya amat kagum dengan insan istimewa ini,” demikian kata netizen, @sampockettrade, mengenai seorang rider Food Panda ini.

Sam tidak menyangka, pesanannya pada malam itu rupanya dihantar oleh insan istimewa bernama Syahrain Fadzil yang bekerja dengan Food Panda sepenuh masa.

“Beliau full time rider Food Panda, berpendapatan seminggu RM600-RM800. Tiada alasan untuk meraih rezeki yang halal daripada meminta sedekah seperti orang lain,” tulisnya.

Tweet Sam itu mendapat banyak reaksi netizen yang rata-rata kagum dengan Shahren. Tidak kurang juga, ada yang tertanya-tanya bagaimana Shahren menunggang motosikalnya.

Menurut rakannya, Suzairi Hafizi, berkata, sejak dari zaman sekolah lagi Syahrain sudah bekerja dan menunggang motosikal setiap hari.

“Dia menulis, 10 kali cantik dari tulisan aku. Dia pernah tolong aku masa motosikal rosak. Dia tolak pakai kaki motor aku sampai pam minyak,” katanya.

Ketabahan insan istimewa ini membuatkan ramai netizen yang terkesan yang selama ini banyak merungut dengan dugaanNya.

“Kalau ada insan sempurna tapi masih merungut, aku hanya mampu geleng kepala. Semoga dipermudahkan segala urusan beliau.” – @Matt_Lawi

“Astaghfirullahalazim. Nak menangis tengok kekuatan dia. Kuat betul dia bekerja untuk sara hidup dia.” – @Muhammad_asyrff

“Ya Allah ya rabbi. Kuatnya semangat bro ni. Hope tak adalah orang buli dia atau marah-marah dia jika food lambat sampai. Sebab sebelum ini pernah nampak jiran marah-marah bila bro penghantar pizza itu lambat sampai. Kesian tengok.” – @KangYan94563797

Sementara itu, ketika ditemubual mStar Online, Syahrain tidak menyangka videonya itu viral di media sosial.

“Saya hanya sedar mengenai hal itu bila ada yang hantar paparan skrin tentang posting itu, sebab saya tak aktif sangat di Twitter,” katanya.

Menurut Syahrain, dia kehilangan kedua-dua tangannya pada 2003 di mana tangannya hancur selepas terkena letupan berhampiran Penjara Sungai Buloh.

“Masa itu umur saya sembilan tahun, saya terkena bom berhampiran Penjara Sungai Buloh. Saya berada dekat satu kawasan pondok tepi jalan.

“Saya tak tahu itu bom. Saya main dan ia meletup. Tangan saya tak putus tapi ia macam hancur. Saya terima dan reda dengan kejadian ini. Mungkin ada sebab takdir saya macam tu,” katanya.

Syahrain berkata, dia baru saja menjadi penghantar makanan Food Panda sebulan lalu dan bersyukur kerana diterima untuk bekerja.

Dalam pada itu, Syahrain berterima kasih kepada netizen yang mendoakannya dan menegaskan walau apa pun kekurangan diri, jangan jadikan itu sebagai alasan untuk malas bekerja.

Sumber: @sampockettrade, mStar Online via The Reporter

KISAH 2003 BAGAIMANA SYED MOHD SHARIN SYAED FADZIL KEHILANGAN PERGELANGAN TANGAN

ARKIB : 17/02/2003
Bom ditemui meletup empat kanak-kanak cedera parah
Oleh:ANGELINA SINYANG

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Dua daripada empat kanak-kanak terpaksa dipotong kedua-dua pergelangan tangan mereka apabila dua butir bom buatan sendiri sebesar bola tenis yang mereka jumpa dan main meletup dalam sebuah gerai kosong di Kampung Merbau, depan Penjara Sungai Buloh petang semalam.

Letupan kuat daripada bom yang diperbuat daripada campuran belerang, paku dan serpihan mata pisau cukur itu menyebabkan keempat-empat kanak-kanak terbabit luka parah di badan.

Kesemua mereka terpaksa dibedah untuk mengeluarkan benda asing seperti paku, batu dan benang yang menembusi perut mereka semasa letupan itu.

Dua kanak-kanak yang terpaksa dipotong pergelangan tangan ialah Syed Mohd. Sharin Syed Fadzil, 9, dan Saiful Amirul Kamaruddin, 7, kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dua lagi mangsa Haslina Ibrahim, 11, cedera di mata kanan dan adik bongsunya, Hasliana Ibrahim, 8, cedera di perut dan mereka juga kini dirawat di HKL.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Abu Bakar Mustafa yang melawat ke tempat kejadian itu hari ini berkata, polis juga menemui tiga butir lagi bom seumpama itu dalam keadaan baik kerana ia belum disentuh oleh kanak-kanak tersebut.

Katanya, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul tiga petang ketika keempat-empat kanak-kanak itu bermain-main di situ.

“Dua kanak-kanak itu, Syed Mohd. Sharin dan Saiful Amirul kemudian menjumpai lima benda bulat sebesar bola tenis dibungkus dalam plastik di belakang gerai tersebut.

“Syed Mohd. Sharin dan Saiful Amirul masing-masing mengambil sebiji daripada benda bulat tersebut. Salah seorang daripada mereka melontar benda itu ke tanah mengharapkannya agar melantun seperti bola tetapi ia meletup selepas itu,” katanya pada sidang akhbar di HKL di sini, malam ini.

Terkejut melihat letupan itu, katanya, seorang lagi yang memegang bom tersebut cuba melarikan diri tetapi ia meletup apabila terlepas dari tangannya menyebabkan Haslina dan Hasliana yang berada berhampiran turut cedera.

Keempat kanak-kanak tersebut segera dibawa ke Hospital Sungai Buloh oleh kenderaan dari Penjara Sungai Buloh. Mereka kemudian dipindahkan ke Hospital Selayang dan seterusnya dipindahkan ke HKL.

Abu Bakar menambah polis yang menyiasat tempat kejadian hari ini menemui tiga lagi butir bom yang masih ditinggalkan dalam gerai tersebut.

“Bom itu sudah diserahkan kepada Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk siasatan dan dimusnahkan. Siasatan mendapati, bom tersebut diperbuat daripada bahan campuran belerang, paku dan mata pisau cukur yang sudah dipatah-patahkan. Ia dipercayai dibuat kira-kira sebulan lalu,” terangnya.

Jelasnya Abu Bakar, polis kini sedang menggiatkan usaha untuk mengesan siapa yang bertanggungjawab membuat dan meninggalkan bom tersebut di situ.

Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Letupan dan boleh membabitkan akta-akta lain jika ia berkaitan.

Justeru, katanya, beliau berharap penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran tempat kejadian supaya segera melaporkan kepada polis jika terjumpa lagi bom buatan seumpama itu atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran jika mengetahui maklumat mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah HKL, Ng Chew Kim dalam satu sidang akhbar di lobi HKL hari ini memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Selayang memaklumkan mereka akan menghantar dua kanak-kanak lelaki dan dua perempuan yang cedera akibat letupan pada kira-kira pukul 4 petang, semalam.

“Mereka dimasukkan ke HKL pada pukul 8.30 malam. Haslina, Syed Mohd. Sharin dan Saiful Amirul masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala Hasliana yang tidak berapa parah dirawat di wad biasa.

“Haslina cedera di mata kanan tetapi doktor belum dapat memastikan berapa serius kecederaannya itu. Syed Mohd. Syarin dan Saiful Amirul yang hancur kedua-dua belah tapak tangannya terpaksa dipotong kedua-dua belah pergelangan tangan mereka,” katanya.

Sementara ibu dua beradik, Ramlah Awang, 50, ketika ditemui di HKL berkata, dia tidak menyangka kejadian ngeri itu akan menimpa Haslina, Hasliana dan cucunya, Syed Mohd. Syarin.

Katanya, kanak-kanak tersebut memang biasa bermain di gerai tersebut kerana mereka pernah berniaga di situ.

“Kami pernah bercadang membersihkan kawasan gerai tersebut tetapi belum berkesempatan berbuat demikian setakat ini. Tidak sangka pula kejadian seperti ini berlaku,” katanya yang mempunyai 12 orang anak.

Abang kepada Saiful Amirul, Saiful Nizam Kamaruddin, 24, berkata, dia dan ibu bapanya sibuk berniaga di gerai makan yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian semasa kejadian itu berlaku.

“Kami membiarkan, Saiful Amirul bermain-main di situ kerana ada jiran berhampiran boleh memerhatikan mereka,” katanya.

Saksi pertama yang tiba di tempat kejadian, Hawasia Sanusi, 39, berkata, beliau ingatkan tayar lori meletup apabila mendengar bunyi letupan bom tersebut.

Hawasia yang tinggal kira-kira 50 meter dari gerai tersebut berkata, beliau terkejut apabila melihat Hasliana berlari-lari dengan badan berlumuran darah meminta tolong.

Sumber : Utusan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here