Hukum SOLAT MUSAFIR Bagi Mereka Yang Mempunyai Dua Tempat Tinggal? Ramai Yang Masih KELIRU..Ini Jawapan Mufti KL Yang Lengkap

0
3011

SOALAN 1

Assalamulaikum Ustaz. Saya ingin bertanya, saya bekerja dan tinggal di rumah sewa di Muadzam, Pahang. Sekiranya saya pulang ke kampung di Kuala Lipis, Pahang dan rumah itu atas nama saya tapi diduduki oleh ibu bapa, adakah kepulangan saya ke sana sekitar sebulan sekali dibolekan untuk melakukan solat jamak dan qasar? Perjalanan melebihi 82 km dan pulang ke kampung tidak melebihi 3 hari tidak termasuk perjalan pergi dan pulang. Ada niat untuk menetap dan bekerja di kampung halaman semula tetapi tidak tahu bila akan kembali.

SOALAN 2

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon bertanya berkenaan solat musafir.

Saya dan isteri merupakan pasangan PJJ Kelantan dan Kuala Lumpur dan telah membeli rumah di Kuala Lumpur. Pada kebiasaanya kami akan balik pada hujung minggu Jumaat dan Sabtu sahaja. Soalannya adakah boleh saya melakukan solat musafir sepanjang minggu Jumaat dan Sabtu itu?.

JAWAPAN

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Isu solat jamak dan qasar ini merupakan isu yang selalu diutarakan kepada kami. Bahkan telah kami sediakan artikel-artikel berkaitan isu ini seperti Al-Kafi #513: Masa Solat Jamak Qasar, Al-Kafi #927: Solat Jamak dan Qasar di Tempat Kerja, Al-Kafi #923: Hukum Solat Jamak dan Qasar di Stesen ETS Sebelum Bertolak ke Destinasi, Al-Kafi #926: Perkiraan Hari Masuk dan Hari Keluar Dalam Hukum Solat Musafir (Jamak Dan Qasar) dan banyak lagi. Pada kali ini, kami akan menerangkan hukum solat musafir bagi mereka yang mempunyai dua tempat tinggal atau lebih.

Kami mulakan dengan menerangkan istilah-istilah yang berkaitan supaya menjadi pemahaman lanjut dalam mengulas isu ini. Apa yang dimaksudkan mastautin dan mukim?.

Mastautin didefinisikan dengan maksud “orang yang tinggal di suatu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain” (rujuk Dewan bahasa dan Pustaka edisi kedua). Definisi ini tidak jauh berbeza dengan takrif berdasarkan Hukum Syarak yang menyebut:

Contoh; Aziz Rusydi berasal dan lahir di Pasir Tumboh, Kelantan. Beliau mendapat pekerjaan dan membeli rumah di Brickfields, Kuala Lumpur. Beliau menetap di Brickfields, Kuala Lumpur dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain walaupun tempat lahirnya di Pasir Tumboh, Kelantan. Maka Aziz Rusydi telah dikira sebagai bermastautin di Brickfields, Kuala Lumpur dan beliau dikira di antara 40 makmum jemaah Solat Jumaat.

Manakala Mukim bermaksud orang yang bermusafir dan tinggal di suatu tempat lebih daripada tiga hari dan tidak berniat untuk kekal selama-lamanya di situ (Rujuk al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam as-Syafie, m/s 195).

Contoh; Aziz Rusydi bermusafir ke Melaka selama 2 hari kerana urusan kerja, kemudian pulang ke Brickfields, Kuala Lumpur. Maka 2 hari berada di Melaka termasuk hari pergi dan balik, beliau boleh menjamak dan mengqasarkan solat bahkan tidak wajib baginya untuk menunaikan Solat Jumaat (rujuk Al-Kafi #926: Perkiraan Hari Masuk dan Hari Keluar Dalam Hukum Solat Musafir Jamak Dan Qasar).

Allah SWT di dalam firmannya :

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ

Maksudnya :” Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) solat.”

(Surah al-Nisa’ :101)

Demikian definisi ringkas berkenaan istilah-istilah yang terkait berkenaan isu ini. Merujuk kepada persoalan yang pertama, jelas dilihat bahawa Muadzam bukanlah tempat mastautin bagi dirinya kerana beliau sendiri “berniat untuk menetap dan bekerja di Kuala Lipis semula”. Sedangkan seorang yang bermastautin itu adalah orang yang tinggal di suatu tempat dan tidak berniat untuk berpindah ke tempat lain. Maka bagi keadaan ini, Kuala Lipis merupakan watan bagi dirinya dan beliau tidak boleh menunaikan solat Jama’ qasar walaupun kepulangan beliau ke Kuala Lipis hanyalah sekadar sebulan atau setahun sekali. Akan tetapi, beliau dibolehkan untuk menunaikan solat jamak qasar ketika perjalanan pergi dan balik kerana jarak diantara Muadzam ke Kuala Lipis adalah melebihi 2 marhalah. Begitu juga sebaliknya, jika jarak perjalanan ke destinasi adalah kurang daripada 2 marhalah, maka beliau tidak boleh untuk menunaikan solat jamak dan qasar. Ini adalah selari sepertimana yang disepakati oleh para ulama’ dari kalangan mazhab Syafie:

غير المتوطن من أقام على عزمه عوده إلى بلده بعد مدة ولو طويلة

Maksudnya: “Orang yang tidak bermastautin yang bermukim pada satu tempat walaupun dalam waktu yang lama tetapi berazam untuk pulang semula ke tempat asal”.

(Rujuk al-Manhaj al-Qawim bi Syarh Muqaddimah al-Hadramiah, m/s 175)

Wujud persoalan lain, adakah wajib bagi beliau untuk menunaikan solat Jumaat kerana tidak dikira sebagai mastautin? Di dalam isu ini, beliau wajib menunaikan solat Jumaat namun tidak tergolong sebagai 40 makmum bagi jemaah Solat Jumaat. Bahkan, kewajipan ini diguna pakai kepada penuntut-penuntut ilmu seperti mahasiswa-mahasisiwi yang menyambung pelajarannya melebihi 2 marhalah dari kampung halaman.

Bagi persoalan yang kedua, beliau merupakan pasangan jarak jauh yang bekerja di Kelantan manakala isterinya menetap di Kuala Lumpur. Beliau telah membeli sebuah rumah di Kuala Lumpur dan di diami oleh isterinya. Setiap minggu beliau akan pulang ke Kuala Lumpur untuk menziarahi isterinya. Maka dalam isu ini, beliau juga tidak boleh menunaikan solat jamak qasar pada setiap minggu ketika berada di Kuala Lumpur kerana isterinya tinggal di dalam rumah tersebut. Beliau hanya boleh melakukan solat jamak qasar ketika perjalanan pergi dan balik kerana jarak di antara Kelantan dan Kuala Lumpur melebihi 2 marhalah. Hal ini adalah selari sebagaimana yang diijtihadkan oleh para fuqaha’ dalam memberikan fatwa berkenaan orang-orang yang memiliki 2 tempat tinggal di 2 tempat yang berbeza. Syarat-syarat berkenaan isu ini telah dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar Haitami seperti berikut:

حُكْمُ الَّذِينَ يَخْرُجُونَ فِي بَعْضِ السَّنَةِ إلَى مَضَايِعِهِمْ وَحُكْمُ مَنْ لَهُ مَسْكَنَانِ بِبَلَدَيْنِ. وَحَاصِلُ هَذَا أَنَّا نَعْتَبِرُ مَا إقَامَتُهُ بِهِ أَكْثَرُ فَهُوَ وَطَنُهُ دُونَ الْآخَرِ فَإِنْ اسْتَوَتْ إقَامَتُهُ بِهِمَا اُعْتُبِرَ مَا فِيهِ أَهْلُهُ أَيْ زَوْجَتُهُ أَوْ سُرِّيَّتُهُ وَمَحَاجِيرُ أَوْلَادِهِ دُونَ نَحْوِ آبَائِهِ وَإِخْوَتِهِ فَإِنْ كَانَ لَهُ بِكُلٍّ أَهْلٌ اُعْتُبِرَ مَا إقَامَةُ أَهْلِهِ بِهِ دَائِمًا أَوْ أَكْثَرَ أَوْ بِكُلٍّ مَالٌ اُعْتُبِرَ مَا فِيهِ مَالُهُ دَائِمًا أَوْ أَكْثَرَ فَإِنْ كَانَ أَهْلُهُ بِبَلَدٍ وَمَالُهُ بِبَلَدٍ اُعْتُبِرَ مَا فِيهِ أَهْلُهُ فَإِنْ اسْتَوَيَا فِي كُلِّ ذَلِكَ انْعَقَدَتْ بِهِ فِي كُلٍّ مِنْهُمَا

Maksudnya: “Hukum orang-orang yang keluar sebahagian tahun ke tempat-tempat persingahan milik mereka dan hukum orang-orang yang mempunyai 2 tempat tinggal di 2 negeri yang berbeza: “kesimpulannya, kami mengambil kira:

  1. Tempat tinggal yang dia bermukim lebih lama dan lebih banyak di dalamnya, maka itu dianggap watannya sedangkan tempat tinggal yang satu lagi bukan watan;
  2. Seandainya jumlahnya sama, diambil kira dari sudut permukiman isterinya dan hambanya dan tempat jagaan anaknya, tetapi bukan mengambil kira bapa-bapanya dan adik-beradiknya;
  3. Sekiranya pada dua-dua tempat terdapat ahli keluarganya, maka diambil kira pula tempat yang mana ahli keluarganya sentiasa atau lebih banyak tinggal disitu atau dimana hartanya sentiasa atau lebih banyak ditempatkan;
  4. Sekiranya ahli keluarganya pada tinggal di suatu tempat dan hartanya berada di tempat yang lain pula, maka diambil kira dimana keluarganya berada;
  5. Sekiranya sama, maka kedua-duanya adalah watan.
    (Rujuk kitab al-Fatwa al-Kubra al-Fiqhiyah ala Mazhab As-Syafie’, m/s 362)

Begitu juga situasi yang sama bagi suami yang memiliki Isteri yang ramai dan setiap daripada isteri itu diberikan rumah sebagai tempat tinggal.

Contoh; Aziz Rusydi mempunyai 4 orang isteri dan setiap seorang diberikan rumah untuk mereka tinggal. Setiap mereka duduk dengan jarak di antaranya adalah melebihi 2 marhalah. Maka setiap kali Aziz Rusydi mengunjungi rumah isteri-isterinya, beliau dilarang untuk menunaikan solat jamak qasar kerana disitu terdapatnya ahli iaitu isterinya.

WallahuA’lam.

Sumber: muftiwp

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here