Aku Bagi Pakcik Ikan Keli Sambal. 2 Hari Kemudian, Ini Yang Dia Bawakan Untuk Aku.

0
1483

Saya ada satu kisah yang hendak saya kongsikan kepada semua. Kisah mengenai sifat jujur, harga diri dan amanah. Ada seorang pakcik berbangsa India telah datang ke gerai saya untuk membeli makanan.

Saya perhatikan keadaan pakcik tersebut yang pakaiannya sedikit lusuh dan compang-camping dengan janggut dan rambut yang tak terurus. Saya namakan pakcik ni sebagai ‘uncl’e sahaja.

Saya :

Yes uncle.. Mau nasi lemak ka?

Uncle :

(Malu-malu menjawab) Aaaa… Itu nasi lemak berapa ringgit?

Saya :

RM1.20.. Uncle mau ka? (Uncle mengira duit syiling di tangan beliau satu persatu)

Uncle:

Bagi saya satu..

(Saya pun membungkus satu nasi lemak..Uncle pula melihat lauk-pauk yang lain dan mata uncle terlihat juadah ikan keli sambal)

Saya :

Uncle.. Ini nasi lemak you RM1.20

Uncle :

Ini ikan keli berapa ringgit?

Saya :

RM2.50 uncle.. You mau ka?

Uncle :

Takpa.. Nanti lain hari saya datang mau rasa ini ikan keli saya beli…

Saya :

Uncle.. If you mau angkat saja..takpe saya bagi sama uncle..

(Saya terus membungkus lauk ikan keli tersebut dan masukkan dalam beg plastik nasi lemak uncle tersebut. Uncle punyalah taknak terima, saya paksa juga. Uncle mengucapkan terima kasih dan cepat-cepat nak beredar. Tak tahulah sebab gembira tak sabar nak makan atau sebab ada perkara lain yang perlu uncle uruskan)

Dua hari kemudian, uncle datang semula ke gerai saya.

Uncle :

Adik.. Ini duit itu hari punya ikan keli.

(Uncle menunjuk duit sebanyak RM2.50 dalam bentuk syiling kepada saya. Ketika saya melihat huluran duit uncle tersebut, saya rasa sangat sayu,rasa hendak menangis tapi disebabkan ada pelanggan yang lain di gerai, saya terpaksa tahan air mata. Tak profesional la kalau nangis depan pelanggan.)

Saya :

Ehh uncle.. Itu hari saya bagi saja.. Ini hari uncle mau makan ambil baru guna ini duit..

(Uncle terperanjat sedikit dan macam terkejut)

Uncle :

Itu macam ka.. Aaaa… Bagi saya nasi lemak dua bungkus.. (Saya pun membungkus dengan segera dan menghulurkan plastik kepada uncle)

Saya :

Uncle… Ini nasi lemak you RM2.40

Uncle :

Terima kasih banyak.. (Uncle terus ambil plastik tersebut dan saya melihat raut wajah beliau yang sangat girang dan cepat-cepat bergegas nak pergi. Saya panggil uncle untuk beri baki sebanyak 10 sen)

Ya Allah jauhkan aku dari niat yang tidak baik bila menceritakan kisah ini. Betulkan niatku supaya cukup sekadar ingin berkongsi kisah orang yang jujur,mempunyai harga diri dan maruah.

Pandangan saya dan mungkin saya silap.. Uncle tidak datang ke kedai saya pada hari selasa setelah membeli nasi lemak dan ikan keli dari saya pada hari isnin sebelumnya adalah kerana uncle mengumpul duit sebanyak RM2.50 untuk membayar ikan keli tersebut.

Setelah uncle cukup mengumpul duit sebanyak RM2.50 barulah uncle datang ke kedai saya pada hari rabu untuk membayar harga ikan tersebut. Sekali tengok, Uncle dapat beli dua bungkus nasi lemak.

Lihatlah… Orang seperti uncle begitu jujur dan bermaruah. Datang kembali memulangkan duit ikan keli walau uncle tahu kalau uncle bayar duit ikan keli kepada saya mungkin uncle tidak dapat makan pada hari itu.

Kalau uncle pergi ke kedai lain pun sekurang-kurangnya uncle boleh juga beli makanan. Tetapi beliau telah membuat keputusan untuk datang kembali ke gerai saya untuk membayar ikan keli tempoh hari.

Allahuakhbar..betapa tingginya harga diri dan maruah orang seperti uncle.Betapa indah jika kita semua mempunyai sekelumit sifat-sifat seperti uncle ini.

Saya menunggu uncle pada hari khamis tapi uncle tidak ke gerai… Mungkin sedang mengumpul wang untuk membeli makanan agaknya… Ya Allah tolong gerakkan hati uncle ke gerai saya minggu depan sama ada dia ada wang atau tidak.. Aamiin

Sekadar satu kisah untuk kita semua renungkan bersama. Kisah uncle yang mungkin tidak kaya harta tetapi kaya dengan sifat jujur, harga diri dan maruah.

Kredit :  Maznie Muttalib

 

‘DIK, BAYAR UNTUK DIORANG SEKALI’

Pagi ini, saya pergi potong rambut. Tukang guntingnya berasal dari India dan berusia agak muda. Bayaran sebenar hanya RM12, tetapi hari ini saya bayar dia RM32 termasuk RM20 sebagai tip untuknya.

Dia agak terkejut, lalu saya memberitahunya, “this one you keep,” dan saya kata terima kasih kepadanya kerana mengunting rambut sebelum bergerak pulang ke rumah.

Semasa dia memotong rambut saya, tiba-tiba saya terfikir, berapalah sangat gaji dia dan berapa banyak duit yang dia hantar pulang ke kampungnya dengan kadar mata wang negara kita pada waktu ini? Dia ada isteri dan anak tak di negara sendiri? Dia dah bersarapan ke belum? Berapa nilai RM20 pada dia?

Baru tadi pula, saya makan tengah hari agak lewat di gerai kawasan Bukit Bintang ini. Saya ternampak dua anggota tentera dan dua anggota polis sedang makan bersama-sama dengan senjata di tangan.

Saya buka dompet dan tengok hanya ada RM20 sahaja. Saya beritahu pelayan yang saya nak pergi ke bank bersebelahan kedai sebentar untuk mengambil wang.

Balik dari bank, saya lihat mereka masih berada di situ.

“Dik, abang-abang polis dan tentera itu, mereka dah bayar ke belum?” soal saya pada pelayan gerai.

“Belum lagi bang,” balasnya
Lalu saya menyuruhnya kirakan sekali harga makanan saya dengan harga makanan mereka kerana saya mahu membayar untuk mereka. Lagipun, berapalah sangat harga makanan yang mereka makan. Total hanya RM30 untuk mereka berempat.

Setakat RM30 itu, cukup ke untuk kerja yang mereka lakukan yang melindungi nyawa orang lain dan bahayakan nyawa diri sendiri? Boleh ke duit itu membeli nyawa mereka kalau mereka mati? Jadi apa maksud RM20 atau RM30 itu untuk saya? Ia hanya satu nilai di atas sekeping kertas.

Sudah 31 tahun saya hidup dan katakan tiba-tiba kalau saya mati esok, kertas itu tidak akan bagi apa-apa manfaat pada saya. Saya mengaku saya tidaklah berduit sangat tetapi apa yang menghalang saya dari memberi? Apa yang membuatkan kita berfikir dengan hanya membuat duit, simpan dan kumpul bertan-tan duit dan selepas itu digunakan untuk diri sendiri akan membuatkan kita bahagia?

Duit itu boleh menjamin hidup kita kekal ke? Sudah tentu tidak! Kalau hari ini saya tidak menghabiskan RM50 ini untuk orang lain, saya mungkin tengah minum di pub dan enjoy. Mungkin pergi beli baju berjenama yang baru, makan malam di Tony Roma’s ke, minum di Starbucks ke, paling tidak pun isi minyak kereta sampai penuh.

Tetapi cuba fikirkan betul-betul, itu saja ke yang penting dalam hidup kita? Hidup ini hanya tentang diri kita sahaja ke? Bukan ke kita semua ini manusia dan hidup untuk matlamat yang sama? Jadi kenapa nak kedekut sangat?

Hari ini, RM50 yang saya keluarkan tidak membuatkan saya hilang senyuman, rasa lapar atau sedih. Saya juga tidak menyesal dan pastinya saya tidak akan jatuh miskin. Apa yang saya hilang, saya sentiasa boleh dapat semula.

Perkara ini membuatkan saya sedar tentang apa yang kita ada hanyalah satu nilai di atas kertas. Tetapi kalau kita letakkan nilai kertas ini pada diri kita sendiri, barulah hidup ini benar-benar berbaloi. Hidup ini bernilai, hanya kalau kita ada nilai.

Di akhir hayat, semua yang kita ada adalah semua yang kita pernah berikan.

Kredit: Jagdish Singh via katakpisang.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here